Terdapat banyak sekali kelebihan-kelebihan atau keistimewaan yang hanya ada pada solat dan tidak pada ibadah-ibadah lain. Lihat sahaja bagaimana Allah mewajibkan solat pada baginda Rasulullah. Tidak seperti ibadah lain, ia difardukan oleh Allah secara langsung kepada Rasulullah S.A.W di langit iaitu pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Melalui tajuk ini, saya cuba sebutkan 5 sebab utama yang menjelaskan kepentingan solat kepada manusia sehingga kita perlu melakukannya 5 kali sehari semalam dalam apa jua keadaan dan ketika.
Pertama: Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah.
Solat membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kelazatan munajat kepada Pencipta dan melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerah segala urusan kepada-Nya, memohon kedamaian dan keselamatan daripada-Nya.
Lihat sahaja bentuk amalan solat yang diajarkan oleh Rasulullah, bermula dengan qiyam (berdiri), ruku’, i’tidal dan sujud. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk membesarkan Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi Agung. Kenapa tidak? Dengan limpah kurniaan dan nikmat yang dianugerahkan kepada kita baik dari segi kesihatan tubuh badan, zuriat, suami-isteri, ibu bapa serta keluarga. Tidakkan itu satu nikmat yang tidak terhingga?
Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sahaja mengajarkan cara melakukan solat tetapi juga mengajarkan kepada kita dengan pelbagai pujian serta doa yang boleh diamalkan sepanjang kita melakukan dengan ibadah solat iaitu bermula dengan qiyam atau berdiri sehinggalah sebelum kita melafazkan ucapan salam.
Inilah yang saya maksudkan sebagai satu peluang untuk kita berinteraksi dengan Allah secara langsung, menyembah kepada-Nya, memuji dan membesarkan Allah. Ianya tidak akan berakhir sehinggalah kita mengucapkan salam pada-Nya.
Maka tidakkah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang semasa kita mengadap Allah ini dengan memperbanyakkan doa baik berupa permintaan, permohonan bagi menjauhkan dari segala bahaya godaan syaitan dan tidak lupa juga iaitu pengampunan kita kepada Allah.
Kedua: Peluang Menggandakan Pahala Dan Penghapusan Dosa
Solat bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ganjaran yang berlipat ganda, malah ia juga dapat menghapuskan dosa-dosa yang yang lalu.
Inilah kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad s.aw yang tidak terdapat pada umat-umat yang sebelumnya, sehinggakan baginda Rasulullah pernah menyatakan agama Islam itu mudah. Mengapa tidak? Umat terdahulu seperti pada zaman Nabi Musa begitu banyak sekali pantang larangnya. Hendak makan daging lembu sebagai contoh, tidak kesemuanya boleh dimakan begitu sahaja, ada bahagian-bahagian yang ditegah daripada menjamunya. Kita umat Nabi Muhammad? Selagi mana ianya disembelih dengan menyebut nama Allah, maka daging lembu tersebut adalah halal dimakan.
Bangsa Yahudi pada zaman Nabi Musa juga disyariatkan untuk beribadah pada hari Sabtu dan tidak dibenarkan melakukan perkara lain. Sehinggakan mereka melakukan tipu daya bagi mengelakkan larangan ini. Umat nabi Muhammad? Kita bebas melakukan apa sahaja kerja yang halal pada bila-bila masapun, asal sahaja kita tidak meninggalkan perintah Allah untuk mendirikan solat Fardu lima waktu sehari semalam.
Bagaimana pula dengan hal pengampunan kepada Allah bagi dosa-dosa kita? Cukup dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya pada Allah, berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan benar-benar menyesal di atas segala kesilapan pada masa lalu di samping melakukan perintah yang diwajibkan Allah seperti solat Fardu dan lain-lain ibadah bagi menampung dosa-dosa kita yang lalu, maka Insha Allah dosa-dosa kita yang lampau akan diampunkan Allah.
Ini jelas di mana Nabi Muhammad pernah menyatakan bagi sesiapa yang melakukan solat Fardu dari satu Jumaat ke satu Jumaat yang lain, maka dosanya di antara kedua Jumaat tersebut akan diampunkan oleh Allah, begitu juga dengan sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya pada masa lalu.
Bagaimana pula dengan umat pada masa yang lalu? Bangsa Yahudi akibat kesilapan mereka menduakan Allah dengan menyembah sapi, mereka diperintahkan Allah untuk berbunuh-bunuhan sesama sendiri bagi membolehkan taubat kita diterima Allah. Tidakkah kita merasa bersyukur sekarang menjadi umat nabi Muhammad?
Bercakap tentang solat pula banyak sekali kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah seperti dari segi penghapusan dosa.
Firman Allah :
Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Surah Hud ( 11 ) : 114
Ini diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah :
Ertinya :
Malah Rasulullah pernah mengumpamakan orang yang mendirikan solat Fardu lima waktu kepada para sahabat seperti seorang yang mandi lima kali sehari yakni Allah membersihkan sesiapa yang mengerjakan solat dengan penghapusan dosa-dosa.
Di samping itu dengan solat juga, bukan sahaja kita dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan mengucapkan segala pujian seperti tasbih, tahmid dan juga takbir ketika melakukan qiyam, ruku’, sujud dan lain-lain perbuatan tetapi juga dianugerahkan dengan pahala yang tidak terhingga.
Ketiga: Membentuk Mukmin Yang Kuat Dan Sihat
Pernahkah kita terfikir pabila kita mendirikan solat bagi menjalankan kewajipan perintah Allah, kita bukan sahaja menerima pahala yang berlipat ganda dan ditebus segala dosa-dosa kita yang terdahulu tetapi secara tidak langsung juga kita telah menanamkan pada diri kita kecintaan dalam melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan atau jasmani.
Dengan melakukan solat juga dapat memperkukuh kesegaran tubuh badan kita. Solat menuntut agar setiap muslim, bangun pagi seawal mungkin dan bersemangat dalam menghadapi tugas-tugas harian sejak menjelang terbitnya matahari.
Menurut al-Zahabi: “ Dalam solat, faktor fizikal juga terlibat iaitu dalam bentuk senaman untuk badan selain penumpuan fikiran. Senaman-senaman itu melibatkan berdiri tegak ( qiyam ) sujud, ruku’, tumakninah dan penumpuan melalui solat pergerakan-pergerakan badan berlaku, dan kebanyakan organ dalam keadaan tenang. “
Rasulullah SAW melalui sunnahnya telah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat harus dengan tegap dan dalam posisi yang lurus dan tidak boleh dalam keadaan yang lemah atau malas. Ia juga seharusnya dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak kelam kabut, ini dapat disaksikan dalam perintah Rasulullah kepada seorang Arab badwi supaya mengulangi solat yang dilakukannya dengan cara yang tidak teliti dan sempurna.
Dengan ini solat selain daripada merupakan ibadah ia juga merupakan satu bentuk riadah tubuh badan harian yang tersusun dengan sedemikian rupa dalam memberikan kerehatan jiwa dan juga jasmani manusia melalui pergerakan ketika melakukan ibadah solat seperti amalan ruku’, i’tidal, sujud dan sebagainya seperti yang disebutkan tadi.
Menurut satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaya ke atas sekumpulan peserta mendapati mereka yang sempurna solatnya lima kali sehari mempunyai nilai komposisi badan yang lebih sihat berbanding dengan kumpulan peserta yang meninggalkan solat, selain dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, stres, kolestrol dan lain-lain penyakit.
Keempat: Membentuk Kemantapan Rohani Dalam Diri
Solat yang dilakukan dengan penuh khusyu’ juga dapat menumbuhkan pada diri mukmin yang melakukannya kekuatan rohani dan batin yang amat berguna dalam mengharungi segala kesulitan hidup dan juga ujian dalam kehidupan seharian kita.
al-Zahabi menyatakan dalam kitab karangan beliau al-Tib:
“Ibadah solat sentiasa menghasilkan kegembiraan dan kepuasan, ia dapat mengurangkan kebimbangan dan mengawal perasaan marah. Ia dapat meningkatkan rasa cinta kepada kebenaran dan rendah diri terhadap manusia, melembutkan hati, membentuk kasih sayang dan sifat memaafkan serta membenci dan sifat balas dendam…Seseorang boleh menemui cara-cara untuk menyelesaikan masaalah-masaalah duniawi dan rohaniah. Dan seseorang itu boleh memeriksa diri sendiri terutamanya apabila seseorang itu benar-benar menghayati solatnya. Waktu yang paling baik ialah – selepas – tengah malam semasa kebanyakan orang sedang tidur dan dalam keadaan sunyi sepi. “
Ini jelas sebagaimana firman Allah :
“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, kerana sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang sabar.”
Dengan ini solat menjadi institusi pendidikan akhlak yang amali dan berdisiplin yang dapat mengasuh sifat-sifat benar, amanah serta mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Firman Allah S.W.T.:
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; Surah al-‘Ankabut ( 29 ) : 45
Kelima: Memberi Keupayaan Mental Dan Kekuatan Dalaman Yang Tinggi
Selain dari faedah kerohanian yang dapat diraih melalui amalan solat yang dapat membantu mukmin untuk sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan serta menjauhi perkara maksiat dan juga mungkar, dengan mengerjakan solat juga akan dapat mengukuhkan moral dan mental seorang mukmin.
Ini kerana ia akan dapat menanamkan dalam hati, kesedaran adanya pengawasan ilahi, memelihara aturan-Nya, menjaga disiplin waktu, gentar akan ancaman dan seksaan Nya serta sanggup mengatasi sifat-sifat kemalasan dalam memperturutkan hawa nafsu dan sifat-sifat kelemahan manusia yang lainnya.
Antara contoh sifat kelemahan manusia yang berkaitan dengan mental ialah penyakit kegelisahan atau Anxiety. Menurut Al-Quran ianya boleh diubati dengan melakukan solat.
Firman Allah :
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang – Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya; Surah al-Ma’arij ( 70 ) : 19-23
Daripada ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa solat adalah salah satu daripada cara merawati kecelaruan kegelisahan. Ibadah solat merangkumi pelbagai aspek zikrullah seperti doa, tasbih, takbir dan tahmid. Melalui zikrullah yang dibaca secara berulang-ulang ini berdasarkan perasaan rindu kepada-Nya dapat mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan serta menjauhkan jiwa dari kejahatan selaras dengan kehendak Islam. Selain itu, ibadah solat juga dapat mendidik jiwa manusia supaya sentiasa mencintai Allah dan Rasul-Nya. Cinta yang mendalam ini akan membuat jiwa seseorang itu tenang dan sentiasa mengingati Allah serta takutkan kebesaran-Nya.
Melalui ibadah solat juga mempraktikkan amalan berdoa kepada Allah, dengan cara ini dapat memberi peluang kepada manusia untuk berinteraksi secara peribadi dengan Tuhan, selain dari dapat meluahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati mereka melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah. Ia juga sebenarnya menepati kaedah kaunseling atau Psycho Therapy kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang kedua akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi.
Adapun dengan meninggalkan solat akan menyemarakkan kecintaan pada syahwat, buruk dari segi akhlaknya, begitu juga jika solat dilakukan denga gerakan-gerakan anggota badannya tanpa disertai kehadiran akal dan kekhusyukan hati tidak akan memberi kesan atau impak yang mendalam dalam pembangunan mental seseorang.
Berbeza jika solat dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan khusyu’ dapat memperkuatkan jiwa daripada pengaruh cinta pada dunia, serta mengangkat diri daripada keinginan nafsu terhadap kebesaran, harta dan kekuasaan.
Malah menurut kajian, seseorang yang memahami bacaan semasa solat dengan baik mempunyai komposisi badan yang lebih sihat dan pemikiran yang lebih tenang selepas solat berbanding dengan seorang yang tidak faham sepenuhnya bacaan semasa solat. Selain menjauhkan jiwa seseorang daripada bersifat lalai yang boleh memesongkan kita ajaran agama Islam.
Firman Allah:
Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenang karena dzikir kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya dzikir kepada Allah akan membuat hati menjadi tenang
Surah al-Ra’ad ( 13 ) : 28
Begitu juga sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah : Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah s.a.w. mengalami sesuatu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan,
“Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan sembahyang.”
Apa yang dapat disimpulkan ialah ibadah solat yang khusyu’ ini mempunyai pelbagai kelebihan serta kekuatan mental serta ketenangan jiwa seterusnya dapat merawati segala kekusutan yang menghantui jiwa seperti penyakit gelisah dan sebagainya.
Nota: Tulisan ini asalnya salah satu daripada topik bagi tesis sarjana saya, tetapi terpaksa dikeluarkan bagi meringkaskan tesis. Ia juga sudah diubah dan ditambah bagi penyesuaian tatapan umum agar tidak terlalu akademik.
Artikel Terkait